Lencana Facebook

2 Sep 2010

KISAH LIMA PERKARA ANEH

 
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh  yang masyhur. Suatu ketika
beliau pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan
Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar
suara.
 
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu
malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar
dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat,
 
Pertama          - apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
Kedua             - engkau sembunyikan,
Ketiga             - engkau terimalah,
Keempat         - jangan engkau putuskan harapan
Kelima            - larilah engkau daripadanya."
 
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.
Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku
hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk
memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri
sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu
disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia
pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
 
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah
mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas
Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu,
kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi
itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun
meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu
terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
 
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang
sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu
berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil
burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas
burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai
Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi.
Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak
boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara
itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong
sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat
daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam
bajunya.
 
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia
bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas
lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.
Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.
Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku
telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam
mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
 
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama
engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi
pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah
itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
 
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap
akan nampak jua.
 
Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat
kepadanya.
 
Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi
membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
 
Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka
larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
 
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri
kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan
kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah
mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal
orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan
menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat
nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah
dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang
Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
 
 Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata
tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang
kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu
akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan
mengata hal orang walaupun ia benar.
 
"Nabi bersabda, wanita itu dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki yang
bengkok,maknanya jika dibiarkan sikapnya yang tidak elok, maka begitulah  ia
kekal selama-lamanya.
 
Wallahua’lam

Tiada ulasan: