Lencana Facebook

9 Dis 2009

Manusia Makhluk Mulia

Dalam memacu pembangunan negara secara holistik, modal insan yang bertaqwa dan mempunyai jiwa yang bersih serta integriti diri yang kukuh amat diperlukan. Dengan lahirnya tonggak-tonggak penggerak kepada pembangunan seperti ini akan menjamin pembangunan negara terus dapat dipacu dan dipastikan hasilnya mendatangkan kebaikan kepada seluruh warga negara dan menjauhkan masyarakat daripada menanggung kesan yang menggugat keharmonian hidup. Antara asas kepada lahirnya tenaga kerja seperti ini ialah memahami nilai diri manusia yang telah dijadikan oleh Allah di atas muka bumi. Nilai diri terpenting yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada manusia ialah pengiktirafan manusia sebagai makhluk yang mulia berbanding dengan makhluk lain:
Manusia makhluk mulia.

Allah telah memuliakan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk lain yang dijadikan di atas muka bumi ini. Kemuliaan yang dianugerahkan kepada manusia ini dapat dilihat melalui beberapa keistimewaan yang ada padanya dan tidak ada pada makhluk yang lain. Antara keistimewaan-keistimewaan yang ada pada manusia ialah:

1. Allah mengiktiraf kedua-dua unsur yang ada pada manusia.

Allah telah mengiktiraf kewujudan dan peranan unsur jasadi dan rohani yang ada pada manusia. Pengiktirafan ini dapat difahami melalui perintah mempersediakan kekuatan yang berupaya menggerunkan musuh yang disebut oleh Allah dalam ayat 60 surah Al-Anfal. Firman Allah:

Maksudnya: Dan persediakanlah bagi berdepan dengan musuh segala kekuatan yang kamu upaya adakan seperti kuda tunggangan yang boleh digunakan bagi menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu. (Al-Anfal: 60)


Sekiranya Allah tidak mengiktiraf peranan jasadi yang ada pada manusia nescaya perintah memperlengkapkan kekuatan dalam berdepan dengan musuh ini tidak diturunkan kepada orang-orang Islam. Ini kerana Allah Maha Berkuasa untuk menghancurkan musuh-musuh agama dan syariatNya. Pengiktirafan terhadap peranan unsur jasadi dan rohani juga dapat difahami melalui sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Mukmin yang kuat adalah lebih dikasihi oleh Allah berbanding dengan mukmin yang lemah. Akan tetapi pada kedua-duanya adalah kebaikan.”

Pengiktirafan Allah terhadap unsur rohani dan jasadi ini juga dipaparkan melalui ayat-ayat Al-Quran yang menyeru manusia supaya memerhatikan dan memikirkan kejadian-kejadian Allah yang ada disekeliling mereka. Dengan menggunakan akal yang merupakan salah satu elemen rohani yang ada pada manusia membolehkannya untuk mengenal Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Bijaksana. Firman Allah:

Maksudnya: Ulul Albab ialah mereka yang memikirkan kejadian langit dan bumi (lalu mereka berkata) “Engkau tidak jadikan semua ini wahai Tuhan kami dengan sia-sia. Maha Suci Engkau. Maka lindungilah kami daripada azab api neraka. (Ali Imran: 191)

Dengan wujudnya pengiktirafan inilah Allah telah menggubal doktrin taklif yang dikenakan ke atas setiap lelaki dan perempuan Islam yang telah mencapai umur tertentu. Sekiranya diteliti taklif yang disyariatkan oleh Allah adalah merangkumi taklif rohani yang merangkumi iman dan akhlak serta taklif jasadi seperti menunaikan solat berpuasa, menunaikan haji dan berjihad.

2. Diamanahkan sebagai khalifah di atas muka bumi.

Agama Islam telah mengiklankan kemuliaan manusia dengan mengangkat martabatnya sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Firman Allah:

Maksudnya: Tatkala Tuhan Mu (wahai Muhammad) berkata kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah (manusia) di atas muka bumi.” (Al-Baqarah: 30)

Dengan hikmah Allah, keinginan untuk membangunkan muka bumi dan bekerja adalah antara citara asal yang ada dalam sanubari manusia. Konsep manusia sebagai khalifah ini juga dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap pengembala akan ditanya tentang gembalaannya.”

Kekhalifahan manusia muslim di atas muka bumi adalah bergantung kepada keterikatannya kepada perjanjian Allah iaitu mestilah berdiri teguh di atas jalan pertunjukNya, hanya mengabdikan diri kepadaNya, tidak mendakwa dirinya sebagai tuhan dan mengikut segala hukum Allah sebagai manhaj hidupnya. Pada ketika itu akan terserlahlah kemuliaan manusia muslim sebagai khalifah.

3. Seluruh alam dijadikan oleh Allah untuk kegunaan manusia.

Antara bentuk kemuliaan manusia lagi ialah Allah menjadikan segala makhlukNya yang ada di atas muka bumi ini tunduk dan memberikan khidmatnya kepada manusia. Semua makhluk termasuk langit, bumi, binatang, tumbuhan, air, udara yang sebagainya sentiasa patuh untuk digunakan oleh manusia. Semua dijadikan oleh Allah untuk memenuhi kepentingan dan kebaikan serta mendatangkan kebahagiaan kepada manusia. Firman Allah:

Maksudnya: Allah-lah Tuhan yang telah menjadikan langit dan bumi, dan telah menurunkan hujan daripada langit lalu ia dengannya Dia mengeluarkan hasil buah-buahan sebagai rezeki bagi kamu. Dan Dia telah menjadikan kapal bagi kamu supaya kamu dapat menggunakannya untuk belayar di lautan dengan keizinanNya. Dan Dia telah menjadikan bagi kamu sungai-sungai dan menjadikan bagi kamu matahari dan bulan yang saling silih berganti. Dan Dia menjadikan bagi kamu siang dan malam. Dan Dia memberikan kepada kamu segala yang kamu pinta. Sekiranya kamu hitung nikmat Allah nescaya kamu tidak akan berupaya mengiranya (Ibrahim: 32-34)

4. Makanan dan minuman manusia adalah benda-benda yang baik

Antara bentuk kemuliaan manusia lagi ialah Allah menjadikan rezeki yang masuk ke dalam tubuh badannya terdiri daripada benda-benda yang baik dan mulia. Firman Allah:

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah memuliakan keturunan Adam, dan Kami telah perjalankan mereka di lautan dan di daratan, dan Kami telah berikan kepada mereka rezeki yang baik-baik (Al-Israk: 70)

5. Mempunyai kebebasan memilih.

Untuk menonjolkan kemuliaan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk lain samada malaikat atau binatang serta alam benda yang lain, Allah telah memberikan kebebasan memilih kepada manusia dalam segala aspek yang bersifat iradi  sekalipun dalam aspek akidah iman dan kufur serta perlakuan yang mengakibatkan pahala dan dosa. Firman Allah:

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia berasal daripada air mani yang bercampur antara lelaki dan perempuan untuk Kami uji. Kemudian Kami jadikan mereka bolehmendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami memberikan pertunjuk kepada mereka dua jalan samada jalan orang bersyukur atau jalan orang yang kufur (Al-Insan: 2-3)

Firman Allah lagi:

Maksudnya: Maka barang siapa yang mahu hendaklah dia beriman dan barang siapa yang mahu kafir biarlah dia kafir (Al-Kahfi: 29)


Dengan adanya kebebasan memilih ini manusia dipertanggungjawabkan terhadap tindakan-tindakan yang dilakukannya di dunia untuk diperhitung di akhirat kelak. Dalam perbincangan ilmu fiqah konsep ini dinamakan sebagai taklif. Semua tindakan manusia akan dibicarakan samada kecil atau besar. Manusia tidak akan ada hujah lagi dihadapan Allah apabila tetap melakukan maksiat terhadapNya setelah segala keterangan tentang syariatNya diperjelaskan oleh Rasul.

6. Berhubung terus dengan Allah.

Allah membuka pintu taqarrub kepada manusia untuk mendekatkan diri dan meminta daripadaNya pada bila-bila masa, di mana-mana dan dalam sebarang keadaan. Firman Allah:

Maksudnya: Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada Engkau (wahai Muhammad) tentang Aku, maka (katakanlah kepada mereka) sesungguhnya Aku adalah hampir dengan mereka. Aku memperkenankan doa orang yang meminta apabila dia berdoa kepada Aku (Al-Baqarah: 186)

Dalam satu hadis Qudsi, Allah memberitahu kepada manusia tentang hubunganNya dengan hamba-hambaNya tanpa perlu kepada perantara atau orang tengah sebagaimana yang terdapat dalam ajaran agama lain. Dengan konsep hubungan terus ini manusia tidak perlu mencari ‘orang alim’ untuk menjadi orang tengah meminta kepada Allah bagi pihaknya. Manusia juga tidak perlu mendapatkan khidmat ‘wali’ untuk meminta ampun daripada segala dosa yang pernah dilakukan bagi pihaknya kepada Allah. Dengan itu manusia boleh berhubung dengan Allah pada bila-bila masa dan dimana sahaja tanpa perlu bantuan orang lain.

Dengan menghayati nilai diri manusia yang telah dikurniakan oleh Allah sebagaimana yang telah disebutkan di atas, maka manusia dapat memainkan peranan yang sepatutnya dalam membina kehidupan masyarakat di dunia dan dapat menjauhkan diri daripapada perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai mulia tersebut. Dengan itu manusia tersebut akan menjadi insan berguna bagi diri dan orang lain

Tiada ulasan: